oleh Ibnuyaacob & Arman
Kelmarin, pada 6 Ogos 2009, laman web parti politik terbesar di Israel iaitu Kadima telah digodam oleh hacker Palestin. Menurut jurucakap parti itu, bukan website Kadima sahaja yang terlibat malah blog peribadi pemimpin parti itu juga turut diceroboh.
Keadaan itu disedari oleh administrator setelah mendapati wajah Livni telah diletakkan simbol sasaran tembak dengan beberapa slogan hasutan terhadap parti Kadima seperti “God will defeat Israel” di dalam bahasa Arab dan Hebrew. Kini pasukan teknologi maklumat parti Kadima sedang bertungkus-lumus membersihkan semula laman web tersebut.
(Gambar) Tzipi Livni, pemimpin parti Kadima, Israel.
Menurut akhbar The Associated Press, kemungkinan pencerobohan itu mungkin dilakukan oleh Gaza Hacker Team (GHT) berdasarkan logo kumpulan yang diletakkan pada web.
Tindakan GHT ini mungkin untuk membalas tindakan kumpulan hacker Israel dari Gerakan Kach yang menggodam tiga laman web kepunyaan parti Arab-Balad iaitu Arab42.com, Mahsom.com dan Arabic-Language.com pada Jun 2008.
Sebelum menggodam laman web parti Kadima, Gaza Hacker Team telah melakukan tindakan di luar dugaan pihak keselamatan Israel iaitu menceroboh dan mengambil alih laman web serta stesen Radio 102FM milik Israel pada 19 Januari 2009.
Pencerobohan tersebut tidak disedari pasukan komputer stesen radio tersebut dan selepas disedari, pasukan komputer itu terpaksa pula mengambil masa yang lama untuk mendapatkan semula kawalan stesen radio internet mereka.
Perang Dunia Digital Bermula
Menurut wartawan Israel iaitu Maayan Cohen, kumpulan hacker dari Gaza tidak sahaja bergerak bersendirian, mereka sangat teratur dan mempengaruhi hacker-hacker dari negara lain yang pro-Palestin.
Sehingga akhir 2008, laporan menunjukkan sudah beribu-ribu laman web dari Israel telah digodam oleh hacker-hacker luar negara khususnya dari Iran, Lubnan, Maghribi, Turki dan Algeria. Selain itu, hacker pro-Palestin juga turut cuba menggodam laman web bank dan agensi-agensi kerajaan di Israel.
Menurut laporan dari web CNN.com, kumpulan hacker dari Maghribi yang digelar Team Evil disyaki paling banyak menggodam web-web dari Israel. Serangan tersebut disyaki telah dilakukan sejak tahun 2006 lagi.
Lanjutan dari permasalahan ini, Kementerian Luar Israel telah mengeluarkan dana khas membantu kelompok hacker dan propagandist dari Israel yang berhasrat mempertahankan dasar-dasar luar negara Israel. Bukan itu sahaja, rakyat Israel juga digalakkan memuat turun suatu perisian khusus untuk memberi sokongan kepada kerajaan Israel. Perisian itu diberi nama Megaphone. Menurut jurucakap Kementerian Luar Israel, setakat sudah 50,000 pelayar internet memuat turun perisian tersebut.
No comments:
Post a Comment