Followers

Sunday, March 7, 2010

Ustaz dan Ustazah jepun

USTAZ Abdul Wasei Haruka Kimura
dan
Ustazah Fitrah Hirose Junko

Rasanya tak ada sapa yang tau nama ni.. saya pun tak kenal..
sebenarnya dia adalah pendakwah kepada bangsa jepun.. yang best nya..
dia buat kerja ni semua di Malaysia.. lama saya merayau surfing intenet..
nak cari kisah pendakwah jepun.. akhirnya saya menemui seorang
ustaz dan seorang ustazah jepun.. jika di ikutkan..kerajaan Indonesia
lebih banyak memberi sumbangan kepada pembangunan islam di negara matahari terbit ini.
jom kita tengok sedikit kisah mereka yang di laporkan oleh surat khabar kita.



FITRAH HIROSE JUNKO.


Abdul Wasei Haruka Kimura

MENGENDALIKAN kelas pengajian al-Quran kepada ahli Perhimpunan Muslimah KL-Jepun pada setiap pagi Sabtu minggu keempat adalah rutin kepada AbdUl Wasei Haruka Kimura, 51, sejak 22 Mac 2003.

Malah anak kelahiran kota Tokyo, Jepun ini juga adalah wakil Persatuan Muslim Jepun di Malaysia sejak 1995. Kebetulan pada hari kunjungan penulis ke kelas kendalian beliau minggu lalu merupakan kelas akhir pengajian Hadis 40- An-Nawawi sebelum menyambung pengajian Hadis 200 dan Kaedah Tajwid. Kelas kendalian Abdul Wasei sebelum ini iaitu pada Oktober 2006 berjaya menamatkan pengajian kelas al-Quran 30 juzuk secara bertajwid.

Kata Abdul Wasei lagi, penglibatan beliau dengan aktiviti Badan

Bukan Kerajaan (NGO) bermula selepas membuat kajian tentang orang Jepun yang memeluk Islam di Malaysia pada 1995 hingga 1996. Hasilnya beliau mendapati seramai 188 orang Jepun yang beragama Islam di Malaysia.

Bersyukur

“Saya cuba menghantar surat kepada mereka yang mempunyai alamat. Boleh dikatakan sepuluh peratus daripadanya yang respons. Kami cuba untuk mengadakan satu perjumpaan tetapi sayangnya, ada yang tinggal

Jamila Takahashi

berjauhan dan ini menyukarkan hasrat saya itu.“Semenjak dari itu hinggalah sekarang, saya aktif dan sentiasa memberi sokongan dalam apa juga aktiviti seperti program latihan, program ukhuwah, pengislaman mahupun perkahwinan. Saya gembira apabila dapat menyumbang sesuatu ke jalan Allah.

“Sebenarnya saya amat bersyukur dengan ilmu yang diperoleh kerana tanpa keizinan-Nya, sudah tentu saya tidak sampai ke sini. Inilah masanya untuk saya memberi kembali apa yang telah saya peroleh sebelum ini,” cerita Abdul Wasei selepas tamat kelas beliau, tengah hari itu.

Berkongsi kenangan manis terutamanya apabila berjaya membantu sesama umat Islam, akui Abdul Wasei kejayaan menghasilkan sebuah buku asas agama Islam untuk kanak-kanak benar-benar menyentuh hatinya dan amat menggembirakan.


Muhmmad Noburo Satoh .

“Kos percetakan di Jepun agak mahal berbanding di Malaysia apatah lagi, jumlah yang hendak dicetak itu kecil. Ini memandangkan penerbitan buku-buku agama Islam di Jepun amat terhad.

“Menyedari kesukaran tersebut, saya bersama dengan seorang rakan kongsi telah mengusahakan buku pertama kami. Alhamdulillah, usaha kami berjaya sungguhpun kami terpisah oleh jarak yang jauh.

“Kini dengan kecanggihan teknologi maklumat dan komunikasi serta penggunaan internet menyebabkan dunia menjadi semakin kecil dan Jepun menjadi semakin dekat. Inilah sumbangan kecil saya kepada umat Islam di Jepun,” kata pengurus sebuah syarikat yang membekalkan bahan mentah dan alat ganti kepada sebuah kilang besi terkemuka di Malaysia.

Bercerita kisah yang membawa kepada pengislaman serta berkongsi pengalaman yang membawanya ke Madinah untuk mendalami agama Islam, terang Abdul Wasei, beliau mengucap syahadah pada 10 Julai 1977. Pada masa itu beliau bekerja sebagai Jurutera Sistem Komputer di Jepun.

“Saya terbaca iklan tentang kelas pengajian bahasa Arab. Saya tertarik untuk mengikuti kelas malam tersebut dan berkemungkinan inilah titik permulaan pendedahannya kepada agama Islam. Semakin lama mengikuti kelas itu, saya ingin tahu lebih mendalam di sebalik agama itu.

“Saya mengambil keputusan berhenti kerja walaupun pada masa itu sudah lebih lima tahun berkhidmat. Selama dua tahun saya mengikuti pengajian bahasa Arab di Universiti Islam Madinah dan kemudiannya menyambut pengajian di Fakulti Dakwah dan Usuluddin selama empat tahun. Selama enam tahun pengajian, Abdul Wasei berpeluang menunaikan haji sebanyak dua kali.

Terpikat

“Ramai yang tertanya-tanya adakah saya mampu bertutur lancar menggunakan bahasa Arab. Boleh dikatakan hampir setiap hari kami terdedah dengan penggunaan bahasa Arab terutamanya dalam menyiapkan laporan, membaca, berbual, peperiksaan. Malah kalau hendak bertengkar pun kena mengunakan bahasa Arab,” ujar Abdul Wasei yang merupakan orang Jepun yang pertama menamatkan pengajian dari Universiti Islam Madinah.

Ditanya apa yang membawanya ke Malaysia, kata Abdul Wasei dia mengenali Malaysia sewaktu masih menuntut di Arab Saudi lagi. Pada cuti musim panas, beliau kembali ke Jepun sebelum melawat kawan yang tinggal di Pattani, Tahailand. Pada masa itu umat Islam sedang menjalani ibadah puasa Ramadan.

Semenjak dari saat itu, Abdul Wasei mengakui, hatinya mula terpikat dengan suasana kehidupan orang di Asia Tenggara. Malah sehingga beliau pernah menjangka akan berkahwin dengan wanita dari benua ini suatu hari kelak.

Jodoh pertemuan adalah ketentuan dan takdir Ilahi. Itulah yang berlaku kepada Abdul Wasei di mana pada 1986 telah mendirikan rumah tangga dengan wanita Malaysia bernama, Azni Mohd. Aziddin. Kini pasangan ini telah dikurniakan empat cahaya mata antara usia 20 hingga 10 tahun.

“Saya berhijrah ke Malaysia pada Januari 1995 dengan niat dan tujuan yang baik. Pada masa itu anak sulung kami berada di dalam darjah satu. Saya melihat Malaysia adalah sebuah negara membangun dan kehidupan rakyatnya yang berbilang bangsa dalam suasana aman dan harmoni. Saya mahu anak saya dibesarkan di negara indah dan unik ini. Itulah sebab utama saya datang ke Malaysia.

“Selain itu, memandangkan Malaysia yang sedang pesat membangun dan ini menandakan banyak kemungkinan yang bakal berlaku pada masa hadapan. Hakikatnya, saya mempunyai banyak idea. Sebelum berlepas ke Malaysia, saya ada terfikir membuat kerja-kerja berkaitan penerbitan memandangkan di sini kosnya agak berpatutan.

“Apatah lagi, buku-buku agama terutamanya tentang agama Islam amat terhad dalam pasaran buku-buku di Jepun,” cerita Abdul Wasei yang juga pernah bekerja sebagai penganalisa komputer di agensi perlancongan pada 1996. Pada masa itu beliau baru berpindah ke Kuala Lumpur sebelum mendapat taraf kerakyatan Malaysia pada 2001 selepas bertahun-tahun memohonnya iaitu sejak Jun 1995.

Meskipun bahasa Arab menjadi pembuka tirai kepada asas pengetahuan Abdul Wasei tentang Islam namun katanya semakin jauh beliau mendalami Islam, beliau tertarik dengan konsep tauhid dalam ajaran Islam. Di dalam agama Islam, Allah adalah Satu.

Berbeza dengan kebanyakan masyarakat Jepun yang tidak mempunyai apa-apa pendidikan agama. Agama seperti Shintoism, Buddha, Kristian dan agama-agama yang kecil adalah antara agama anutan segelintir orang Jepun. katanya lagi di Jepun mendaftar sesebuah agam itu amat mudah hanya memerlukan tempoh dua tahun sahaja.

Menyentuh tentang Perhimupan Muslimah KL-Jepun kata Abdul Wasei, ia ditubuhkan pada 2003 dengan penganjuran beberapa kelas pengajian seperti di atas. Perhimpunan kaum Muslimah ini diketuai oleh Fitrah Junko Hirose memandangkan beliau tinggal berdekatan Kuala Lumpur dan Selangor. Kebanyakan ahli-ahli perhimpunan ini adalah penduduk tempatan manakala sebahagian yang lain mengikuti suami yang bekerja di Malaysia.

Kecintaan Abdul Wasei kepada bumi Malaysia sehinggakan beliau meminta penulis agar mengingatkan masalah yang bakal dihadapi kerajaan sekali gus rakyat Malaysia, seandainya perkara ini dipandang remeh.

Berbahaya

“Alhamdulillah kesedaran masyarakat Malaysia berkaitan soal penjagaan alam sekitar, usaha kitar semula bahan terbuang adalah di paras membanggakan. Pun begitu, sesuatu yang amat merisaukan saya ialah tentang kitar semua bateri.

“Buat masa ini, bateri kereta yang diambil kira tetapi hakikatnya bateri kering pelbagai saiz seperti AAAA, AAA, UM-1, UM-2, UM-3 dan banyak lagi, bateri butang (pada jam, kamera,, permainan dan lain-lain) dan bateri cas semula masih dibuang di dalam tong sampah bersama dengan sampah-sampah domestik yang lain.

“Sebenarnya bateri-bateri di atas ini mengandungi bahan kimia berbahaya seperti Merkuri, Cadmium dan sebagainya. Negara Jepun telah melalui pengalaman ngeri dengan bahan kimia sebegini kerana ia membuatkan orang sakit dan membawa maut.

“Dalam bahasa Jepun penyakit ini dikenali sebagai “ITA-ITA” yang bermaksud penyakit PAIN-PAIN akibat memakan ikan yang telah dicemari bahan kimia ini. Kesannya kerajaan dan syarikat terlibat terpaksa membayar pampasan kepada pesakit dan ia masih meneruskannya. Saya masih menyimpan bateri terbuang ini di rumah kerana bimbang masalah yang serupa berlaku kepada rakyat Malaysia, khasnya,” katanya yang amat berharap pihak tertentu perlu mengambil langkah drastik sebelum ia menular di Malaysia pula.

Ustazah Fitrah Hirose Junko


FITRAH HIROSE JUNKO.

“TIDAK akan sekali-kali saya menafikan Allah kerana ini bermakna kita menyangkal segala-galanya termasuk kewujudan kita di muka bumi. Allah menciptakan kita dan kepada-Nya kita akan dikembalikan.

Allah mengajar siapa diri kita ini dan saya berharap akan bertemu-Nya tanpa rasa malu.

“Malah saya percaya kehidupan di dunia ini adalah bertujuan untuk bertemu-Nya di akhirat yang kekal kelak. Insya-Allah,” luah pensyarah bahasa Jepun, di MARA-OISCA Japanese Centre, Fitrah Hirose Junko yang mengakui banyak perubahan dialami sejak memeluk Islam di Masjid Kobe, Jepun pada Februari 1998 .

Fitrah, 41, yang juga merupakan peneraju Perhimpunan Muslimah KL-Jepun sejak 2003 merasakan titik tolak kepada penubuhan persatuan untuk kaum muslimat Jepun ini atas kesedaran beliau tentang kepentingan mempertajamkan ilmu agama apabila bergelar Muslim.

Alhamdulillah, dengan sokongan daripada wakil Persatuan Muslim Jepun di Malaysia, Ustaz Abdul Wasei Haruka Kimura, kelas-kelas pengajian Islam berjaya dilaksanakan sekali gus mengeratkan hubungan silaturahim sesama ahli.

Berbalik kepada perbezaan aspek kerohanian, pandangan tentang kehidupan, kepercayaan yang dialami terutamanya selepas penghijrahan akidah, kata Fitrah, pengetahuannya mengenai Islam sebelum ini memang kosong.

Mengimbau perubahan ketara ialah dari aspek kesedaran. Sebelum memeluk Islam, apa yang dilakukan semuanya berpusat kepada kepentingan diri sendiri.

“Memandangkan diri saya adalah segala-galanya, jadi saya menganggap saya harus menerima perkara-perkara yang baik yang dipilih sendiri melalui pelbagai pandangan, falsafah, budaya atau agama.

Tunjang

“Namun selepas bertemu dan mempelajari agama Islam, barulah saya tahu bahawa Allah wujud dan menjadi tunjang utama dalam kehidupan manusia. Berpegang dengan tali Allah sebagai pedoman hidup, secara tidak langsung ia menimbulkan kesedaran dalam diri saya,” jelasnya.

Kemudian Fitrah mengalami perubahan dari segi pandangan. Kalau sebelum ini beliau melihat dunia tidak berlaku adil tetapi setelah yakin kepada Allah, banyak perkara mula difahaminya. Contohnya; Apa itu kebahagiaan, kekayaan, kebaikan dan kekuatan hakiki?

“Dahulu, pemahaman saya tentang agama itu kabur tetapi menerusi al-Quran, saya temui jawapan yang jelas. Alhamdulillah, Allah telah membuka pintu hati saya,” akui Fitrah.

Wanita ini menjejak kaki di bumi Malaysia pada Februari 1999 kerana mengikuti program pengajian al-Quran anjuran Majlis Dakwah Islamiah Rantau Asia Tenggara dan Pasifik (RISEP) selama sebulan.

Fitrah dan seorang teman senegaranya mengambil keputusan menyambung pengajian dengan biaya sendiri. Akhirnya mendapat peluang mengajar bahasa Jepun kepada pelajar-pelajar tajaan Majlis Amanah Rakyat (Mara) sehingga ke hari ini.

Di bumi Malaysia ini jugalah menyaksikan detik bersejarah buat anak kelahiran Pulau Shikoku, Jepun ini yang pernah bekerja sebagai jururawat di Osaka, Jepun mengakhiri zaman bujangnya dengan Ahmad Tajudin Abdul Zawawi, 48. Perkahwinan yang dibina atas rasa keikhlasan diceriakan dengan kehadiran anak-anak tiri yang masih kecil dan baru kehilangan ibu tersayang akibat kanser.

Perkahwinan Ahmad Tajuddin sebelum ini dikurniakan empat cahaya mata iaitu Ahmad Syazwan, 20, Nor Syazwani, 19, Ahmad Syazwi, 17 dan Nor Syazwina, 12. Hasil perkahwinan dengan Fitrah mereka dikurnikan Nor Maryam, 5, dan Amir Syaaban, 2.

Pemahaman dan pandangan beliau berkaitan agama semakin jelas selepas mengikuti rombongan sukarelawan perubatan Jepun ke Nepal pada 1997. Pada masa itu, usia Fitrah baru 27 tahun dan belum bergelar Muslim.

Naluri suka membantu mereka yang di dalam kesusahan mendorongnya bergiat aktif dalam kerja-kerja sukarelawan terutamanya membantu penduduk dari negara-negara miskin.

“Sebelum ke Nepal, saya memang giat membantu menjual produk-produk kraf dari Nepal di Osaka. Hasil jualan disalurkan untuk membantu anak-anak yatim Nepal. Pada Mei 1997, di bawah Pertubuhan Bantuan Kanak-kanak Nepal, kami seramai 20 sukarelawan menjejakkan kaki di Nepal.

“Kehidupan mereka yang daif, melarat, kotor dan serba kekurangan amat menyentuh hati saya. Apabila melihat mereka meminta-minta sesuatu untuk dimakan begitu menyebakkan. Saya tidak menyangka ada yang lebih susah berbanding kami yang jauh merasai erti maju dan kekayaan,” katanya.

Rombongan itu meneruskan perjalanan ke sebuah perkampungan terpencil, Kampung Tharu di Chitawan yang terletak kira-kira sejam menaiki pesawat dari Kathmandu, Nepal.

Sungguhpun, tidak lama di sana tetapi ia membawa kesan mendalam terutamanya dari segi gambaran kehidupan di dunia ini.

Sejak itu, Fitrah mula memikirkan ketidakadilan terhadap mereka yang langsung tidak merasai kesenangan sehinggalah mereka mati. Persoalan seperti ada tidak kehidupan selepas kematian sentiasa berlegar-legar dalam fikirannya. Bagi anak sulung daripada tiga adik-beradik ini, mati seperti tidur yang panjang.

Sekembalinya ke Jepun, Fitrah dan ahli-ahli pertubuhan sentiasa berbincang sesama ahli yang pelbagai bangsa dan negara tentang pengalaman mereka yang pernah ke Nepal.

“Mereka ada sebut tentang Islam. Saya ke perpustakaan dan baca tentang Islam. Keesokannya, saya bertemu dengan seorang Muslim dan diberitahu bahawa di Masjid Kobe ada seorang Jepun yang mengajarkan Islam bernama Salwa yang telah berkahwin dengan lelaki Mesir,” katanya.

Bermula di situlah pelbagai persoalan yang membebani fikirannya terjawab satu persatu. Sesuatu yang luar biasa berlaku kepada Fitrah apabila timbul sahaja kemusykilan, beliau akan memperoleh jawapannya menerusi al-Quran.

“Ini menambah keyakinan dan kepercayaan saya kepada agama Islam. Dari situ jugalah saya menyedari agama Islam adalah satu-satunya agama yang menjelaskan tentang kehidupan selepas mati itu adalah kekal secara jelas.

“Kehidupan di dunia adalah sementara dan ia adalah ujian kepada manusia. Lantaran itu, mereka yang benar-benar beriman dengan Allah dan Rasul, akan kekal bahagia,” akui Fitrah yang mula berhadapan dengan pelbagai tekanan hebat selepas bergelar Muslim.

Menurutnya, selepas pulang bercuti dari Turki dan Syria, beliau mula selesa dengan pemakaian tudung sehingga tidak sanggup menanggalkannya apabila pulang ke Jepun dan meneruskan tugas kembali.

“Saya pergi kerja seperti biasa, cuma kali ini saya memakai tudung. Pada sebelah tengah hari, ketua memanggil saya dan mempersoalkan tindakan saya.

“Dia juga menyuruh saya membukanya tetapi saya enggan. Akibatnya, saya diberhentikan serta merta,” jelasnya.

Setelah tidak lagi mempunyai pekerjaan di Osaka, Fitrah kembali ke Kobe di mana beliau mendalami Islam. Salwa mengesyorkan beliau mengikuti program di bawah RISEP kerana menurutnya, masanya boleh terluang dengan perkara berfaedah. Inilah yang membawanya ke Malaysia.

“Alhamdulillah, saya berkenalan dengan beberapa Muslim Jepun yang sudah lama menetap di sini. Menerusi bantuan kawan, saya mendapat tawaran mengajar memandangkan guru yang sedia ada akan bersara.

“Saya pulang ke Jepun untuk mengikuti kursus mengajar bahasa Jepun selama 3 bulan sebelum boleh menjawat jawatan guru bahasa Jepun di Mara,” akur Fitrah mengimbas solat dan doa yang dipohon selepas kehilangan pekerjaan rupa-rupanya termakbul dan dirasai sekarang ini.

Ditanya apakah yang masih dicita-citakan, Fitrah berhasrat memperbaiki kelas-kelas pengajian agama anjuran Perhimpunan Muslimah KL-Jepun dari semasa ke semasa.

“Apa yang sedang saya usahakan sekarang ialah menunaikan haji kerana saya ingin benar menyaksikan kebenaran Islam di depan mata tidak sekadar dengan mengikuti sejarah keagungan Islam menerusi pembacaan. Alhamdulillah kursus haji telah saya ikuti pada tahun lepas.

http://www.utusan.com.my/utusan/arkib.asp?y=2007&dt=0301&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm


“Di samping itu, kepada pelajar-pelajar saya yang akan bekerja di Jepun agar dapat menunjukkan Islam yang sebenar. Ini kerana masyarakat Jepun masih beranggapan, Islam adalah agama yang kasar dan ganas.

“Untuk berdakwah cara tradisional bukanlah jawapannya kerana bagi saya walaupun orang Jepun tidak ada agama namun pandangan mereka tentang aspek kebersihan, penjagaan masa, hormat-menghormati dan banyak lagi adalah terbaik. Sebab itulah agak sukar untuk berdakwah cuma yang saya harapkan ialah hidayah daripada Allah,” kata Fitrah yang merahsiakan pengislamannya daripada pengetahuan keluarga selama setengah tahun.

Kini, alhamdulillah keluarga semakin terbuka dan menerima saya dan anak-anak termasuk anak-anak tiri dan suami.

Fitrah juga meluahkan rasa syukur dan berterima kasihnya kepada suami yang begitu memahami, bertolak ansur, sentiasa menyokong, baik hati dan sentiasa ringan tulang.




No comments:

Post a Comment