Followers

Thursday, July 2, 2009

HUKUM KAHWIN WANITA TERMENGANDUNG

Terdapat satu pandangan yang tersebar luas mengatakan tidak sah mengahwini wanita sedang mengandung anak luar nikah, walaupun sesama pasangan zina itu sendiri.. keadaan tersebut mmenyebabkan pasangan tersebut berada dalam zina walupun telah berkahwin..

di sini, adalah pandangan lain yang berkaitan perkara tersebut.

HUKUM KAHWIN SEMASA ‘IDDAH DAN HAMIL

Adapun berkenaan hal ‘iddah' dan bolehkah berkahwin semasa tempoh ‘iddah.

Hukum asal bagi perkahwinan dan perceraian normal, adalah diwajibkan menunggu tamatnya ‘iddah wanita sebelum diizinkan untuk berkahwin baru.( Al-Ikthiyar li Ta'lil al-Mukhtar, 3/78).

a) Tempoh Iddah Wanita Dicerai Dalam Keadaan Suami Masih Hidup

Tempoh iddah bagi wanita yang diceraikan (jika tidak mengandung) adalah tiga kali suci berdasarkan firman Allah SWT :-

Ertinya : "Dan wanita-wanita yang tercerai ( iddahnya ) adalah tiga kali suci " ( al-baqarah : 228 )

b) Tempoh Iddah Wanita Mengandung

Tempoh ‘iddah bagi wanita mengandung, adalah sehingga ia selesai bersalin. Ia berdasarkan firman Allah SWT :-

وأولات الأحمال أجلهنّ أن يضعن حملهنّ

Ertinya : " Wanita-wanita yang hamil tempoh iddahnya adalah sehingga melahirkan kandungannya" ( At-Talaq : 3)

c) Tempoh Iddah Wanita Yang Bercerai Kerana Suami Mati

Tempohnya adalah 4 bulan sepuluh hari, jika tidak mengandung. Ia berdasarkan firman Allah :-

والذين يتوفون منكم ويذرون أزواجاً يتربصن بأنفسهنّ أربعة أشهر وعشراً

Ertinya : Dan bagi mereka yang meninggal dari kalangan kamu dan meninggalkan pasangan (isteri-isteri) hendaklah menunggu (tempoh iddah) nya 4 bulan sepuluh hari" ( Al-Baqarah : 234 )

Ulama telah bersepakat bahawa perkahwinan semasa iddah adalah dilarang dalam Islam ( Nizam al-Usrah Fil Islam, Dr Md Uqlah, 1/ 287), Ia berdasarkan firman Allah :

ولا تعزموا عقدة النكاح حتى يبلغ الكتاب أجله

Ertinya : "Dan jangan kamu melangsungkan aqad nikah sehinggalah sampai tempoh yang ditetapkan al-Kitab ( tempoh iddah) " (Al-Baqarah : 235 )

Bukan saja nikah, malah meminang seorang wanita semasa dalam tempoh ‘iddahnya juga adalah haram. Jika meminang pun tidak dibenarkan semasa iddah apatah lagi bernikah, sudah tentu lebih besar larangannya. Ia berdasarkan firman Allah.

Demikian tadi hukum yang standard bagi seluruh umat Islam. Secara mudahnya, inilah hukum normal bagi keadaan normal. Sebagaimana manual dan panduan bagi sesebuah kereta yang rosak normal. Dengan mudah boleh dijumpai penyelesaiannya oleh si mekanik.

Kes Zina Bermasalah

Bagaimanapun dalam kes ‘iddah bagi individu yang ‘termengandung' akibat zina dan hukum si wanita ini berkahwin dengan lelaki samaada pasangan zinanya atau lelaki lain bagi menutup malunya dengan segera atau apa jua sebab lain.

Ulama berbeza pandangan dalam hal ini.

Mazhab Maliki, Syafie dan At-Thawry berpendapat bahawa tiada hukum ‘IDDAH bagi wanita berzina. Menurut aliran mazhab ini, perbuatan berdosa dan haram seperti zina tidak akan diiktiraf, Hasilnya, tiada hukum boleh terbina di atas sesuatu yang tidak sah seperti zina. ( Rawdah at-Tolibin, 7/113 ; Bidayatul Mujtahid, ibn Rusyd, 2/21)

Pandangan ini juga diriwayatkan telah dipegang sebelumnya oleh beberapa sahabat Nabi yang utama seperti Khalifah Abu Bakar As-Siddiq r.a , Umar Al-Khattab r.a dan Ali Bin Abi Talib r.a.

Ia berdasarkan hadith Nabi yang diriwayatkan oleh Aisyah r.a :

Ertinya : "..penzina (muhsan) tidak lagi layak kepada sesuatu kecuali rejaman batu sehingga mati"

Dan juga sebuah lagi dalil iaitu :

لا يحرم الحرام الحلال , إنما يحرم ما كان من نكاح

Ertinya : Sesungguhnya perbuatan yang haram tidak akan mengharamkan yang halal ( iaitu perhubungan hasil zina tidak akan membawa sebarang kesan kepada hubungan semendaan) , sesungguhnya hanya akan menjadi haram kerana persemendaan jika dari nikah yang sah" ( Riwayat Ibn Majah, Al-Bayhaqi : As-Sayuti : Dhoif)

Hasil dari dalil-dalil itu, jelas bahawa zina yang haram tidak membawa sebarang hukum ‘iddah, hanya nikah yang sah terdapat ‘iddah. Justeru, perkahwinan penzina wanita yang sedang mengandung itu dengan pasangannya adalah sah menurut mazhab ini dan juga disepakati oleh Imam Abu Hanifah.

Lagi Displin Khas

Bagaimanapun, jika wanita penzina melakukan zina dengan ramai lelaki sehingga ia tidak pasti yang berada di dalam kandungannya adalah dari lelaki tertentu. Pernikahannya itu masih sah menurut seluruh mazhab yang telah disebutkan di atas tetapi dengan SYARAT : MEREKA TIDAK BOLEH BERSETUBUH SEHINGGALAH SI WANITA ITU TELAH BERSALIN!. Jika mereka bersetubuh, maka berdosalah mereka walaupun perkahwinan telah sah.

Ia berdasarkan sebuah hadith yang ertinya :

"Tidaklah halal bagi sesiapa yang beriman dengan Allah dan RasulNya, untuk menyiram benih kepada tanaman lelaki lain ( iaitu jika wanita sedang mengandungkan benih lelaki lain)" ( Riwayat Abu Daud, At-Tirmidzi : Hadith Hasan)

Sekiranya wanita itu berkahwin dengan satu-satunya lelaki dan pasti pula ia adalah benih lelaki tersebut. Di ketika itu, ia dibenarkan untuk bersama selepas pernikahan dan pernikahan itu juga sah.

Jawapan di atas juga ada benar sebahagiannya jika dilihat dari perspektif mazhab Hanbali dan beberapa ulama kontemporari, yang mana mereka mengiktiraf mengandung hasil zina boleh membawa hukum ‘iddah, hasilnya, haram bernikah dengan wanita yang sedang ‘iddah dan berlakulah segala satu macam kerumitan sebagaimana yang digambarkan dalam jawapan tuan imam ini.

Kesimpulan

Bagi saya jawapan yang lebih utuh dalam keadaan masyarakat yang amat bermasalah hari ini adalah sah pernikahan dengan syarat si pasangan bertawbat dan jika wanita itu berkahwin dengan pasangan yang bukannya pemilik benih kandungannya, wajiblah ia menjauhi wanita itu sehinggalah ia bersalin.

Sekian

Ust Zaharuddin Abd Rahman

http://www.zaharuddin.net/

http://e-fatwa.intranetportal.my/fatwa-negeri/perkara-bin-dan-binti-anak-luar-nikah-1

http://e-fatwa.intranetportal.my/fatwa-kebangsaan/mengahwini-perempuan-yang-sedang-mengandung-anak-luar-nikah

http://e-fatwa.intranetportal.my/fatwa-negeri/berkahwin-dengan-perempuan-yang-mengandung-0

2 comments:

  1. askum
    nak bertanya mungkin lobai ader jawapan,mcamaner kalau seseorang tu nak becerai,tapi isteri nya hamil ataw pun dtg bulan?

    ReplyDelete
  2. http://www.islam.gov.my/buu/koleksi.html

    Soalan:
    Apakah hukumnya suami menceraikan isterinya semasa mengandung dan setelah melahirkan anak isterinya itu berkahwin dengan lelaki lain?

    Jawapan:
    Hukumnya sah tetapi haram dan bekas isterinya itu harus berkahwin dengan lelaki lain kerana iddahnya habis dengan sebab melahirkan anak.

    ReplyDelete