Followers

Thursday, June 18, 2009

Siapakah Dato Onn Jaafar




Buku: Dato’ Onn Ja’afar – Pengasas Kemerdekaan

Dato' Onn bercadang untuk membuka keahlian UMNO kepada semua orang tanpa mengira kaum. Cadangan tersebut ditentangan. Oleh yang demikian, Dato' Onn meletakkan jawatan sebagai president UMNO apabila persidangan Majlis Mesyuarat Agung Keenam diadakan pada 25 dan 26 Ogos 1951.Namun begitu, UMNO telah menggabungkan parti-parti yang dianggotai oleh kaum lain iaitu MCA dan MIC menjadi parti Perikatan pada tahun 1955.



Saya menghabiskan membaca buku ini dua minggu lepas. Buku ini telah dicetak agak lama, diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka hampir berbelas tahun yang lampau. Tetapi saya hanya berkesempatan membacanya sebermula Disember lepas.

Buku ini antara lain mengupas dengan terperinci sejarah hidup Dato Onn, sebermula beliau menjadi wartawan di Warta Malaya dan menjadi pemimpin di Johor, menubuhkan Umno sehinggalah keluar menubuhkan Parti Kemerdekaan Malaya (IMP) dan mengakhiri hayatnya sebagai pemimpin Parti Negara.

Buku ini memberikan saya gambaran bahawa Dato Onn adalah pemimpin yang mempunyai pemikiran melampaui zaman. Ini termasuklah inisiatif beliau yang mahu menggembleng kesepakatan masyarakat Melayu untuk menentang penjajahan British melalui penubuhan Persatuan Melayu Semenanjung Johor (PMSJ) dan seterusnya Umno pada tahun 1946.

Saya juga terkesan dengan idea Dato Onn yang melihat relevannya politik integrasi yang melangkaui sempadan perkauman apabila Dato Onn membuka cadangan tersebut dalam Mesyuarat Agung Umno pada tahun 1951 tetapi ditolak perwakilan. Beliau meletak jawatan dan menubuhkan IMP.

IMP gagal berfungsi di dalam landskap politik negara, lantas Dato Onn menghidupkan Parti Negara (PN) untuk menyertai Pilihanraya Umum 1955. PN gagal memenangi sebuah kerusi pun, tetapi itu tidak mengecewakan Dato Onn.

Pilihanraya Umum 1959 menyaksikan Dato Onn kembali ke persada politik nasional apabila memenangi kerusi Parlimen Kuala Terengganu Selatan hasil kompromi PN – PAS. PN juga memenangi 4 kerusi DUN Terengganu.

Dato Onn, atas senioritinya dilantik sebagai Ketua Pembangkang meskipun PN hanya mempunyai 1 kerusi. Pembangkang pada ketika itu dibarisi tokoh-tokoh hebat seperti Dr Burhanuddin Helmy (PAS), Dr Zulkifli Ahmad (PAS), Khadijah Sidek (PAS), Ahmad Boestamam (PRM), dan DR Seenivasagam (PPP).

Kepimpinan beliau di Parlimen cukup terserlah dengan pendirian tegas beliau mengenai beberapa perkara, antaranya ialah perlantikan Senator kalangan Perikatan pada ketika itu. Beliau berpendapat Senator mestilah dilantik daripada kepelbagaian latar belakang politik supaya keputusan di peringkat Dewan Negara akan lebih adil.

Dato Onn juga menentang keras beberapa fasal di dalam Internal Security Bill 1960 (ISA) kerana wujudnya beberapa fasal yang mengekang kebebasan bersuara. Beliau berhujah bagaimana fasal-fasal tersebut bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Isu pendidikan juga seringkali menjadi fokus beliau, memandangkan beliau pernah mengasaskan dan menjawat jawatan Pengerusi RIDA (sekarang MARA) pada tahun 1950 sehingga 1955. Ini termasuklah isu Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Sayangnya hayat Dato Onn berakhir dengan kejatuhan PN apabila 3 ADUN PN di Terengganu ‘dibeli’ Perikatan. Kerajaan Negeri Terengganu pada tahun 1959 agak unik, kerana komposisi 24 kerusi DUN agak seimbang: PAS 12, Perikatan 7 dan PN 4.

Kerajaan PAS Terengganu seringkali dihenyak kononnya gagal memerintah Terengganu dengan baik, dan usaha ‘membeli’ ADUN PN giat dilakukan agar Perikatan boleh memerintah Terengganu di bawah Ibrahim Fikri pada ketika itu.

Mengikut “Memoir Politik Asri” terbitan UKM yang pernah saya baca, Allahyaram Tan Sri Asri Muda juga mendedahkan adanya usaha membeli ADUN-ADUN PAS, tetapi berjaya dikawal oleh pimpinan PAS Negeri dan Pusat pada ketika itu.

Ditawarkan dengan pelbagai janji termasuk peluang berniaga, disokong pula dengan pertemuan ADUN PN dengan Dato’ Abdul Razak (Allahyarham Tun), maka pada Oktober 1961, 3 ADUN PN membuat perisytiharan mereka sah menyertai Umno, dan berakhirlah riwayat PN di DUN Terengganu.

Dato Onn sedih dengan perkembangan tersebut kerana beliau diketepikan atas alasan beliau tidak perlu ambil tahu hal-ehwal Terengganu kerana beliau ‘bukan Anak Terengganu’. Sentimen kenegerian masih menebal di kalangan masyarakat pada ketika itu.

Dan disebabkan kencing manis dan sakit jantung, 18 Januari 1962, Dato Onn menghembuskan nafasnya yang terakhir pada usia 67 tahun.

Buku ini, menggarap satu penulisan yang menunjukkan betapa Dato Onn adalah pemimpin yang mempunyai visi ‘di luar kotak’. Kerencaman perjalanan politik beliau banyak yang tidak terdedah, mungkin kerana tindakan beliau yang tidak mahu kekal dalam Perikatan. Tetapi beliau tetap layak disanjung sebagai seorang negarawan terbilang.

2 comments: